Syariat di junjung Adat di kendung

Syariat di junjung
Adat di kendung
Umat tersanjung
Negara terulung

Ahad, 15 Mac 2009

KENYATAAN MEDIA SEMPENA HARI WANITA SEDUNIA 2009

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM)

Berkongsi Keprihatinan Masa Depan ( Sharing the Caring for the Future): Ke Arah Merealisasikan Pembentukan Masyarakat Madani

Hari Wanita Sedunia (International Women’s Day – IWD) disambut pada tanggal 8hb. Mac setiap tahun. Serentak itu juga, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tahunan Suruhanjaya Status Wanita ( Commission for the Status of Women - CSW) yang dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara anggota pertubuhan tersebut. Tahun ini IWD membawa tema `Sharing the Caring for the Future – Berkongsi Keprihatinan Masa Depan’ – yang menekankan tentang keperluan semua pihak berganding bahu menjamin kesejahteraan masa depan, khususnya untuk generasi akan datang.

Dalam konteks keprihatinan, kaum wanita sememangnya sudah lama menyedari tanggungjawab dan amanah besar memastikan masa depan yang sejahtera, aman damai untuk anak cucu mereka. Kesedaran ini mendorong kaum wanita berusaha memajukan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Strategi memperkasa dan menambah keupayaan wanita meningkatkan kemajuan diri dirancang kemas secara individu dan kolektif untuk memastikan peranan dapat dimainkan sebaik-baiknya.

Wanita JIM menyokong penuh tema yang ditetapkan untuk IWD 2009 ini, yang dirasakan amat tepat pada masanya. Dalam krisis kegawatan ekonomi, politik, sosial, alam sekitar dan kemanusiaan yang semakin mencengkam dunia hari ini, penekanan semestinya dikhususkan kepada pelaksanaan tanggungjawab semua pihak untuk memastikan segala tindakan yang diambil hari ini tidak mendatangkan sebarang kerugian yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

Setelah sekian lama kaum wanita berjuang mendapatkan hak dan pembelaan terhadap nasib yang sekian lama tertindas dan tersisih, setelah banyak kejayaan dan kemajuan dapat diraih, semakin ketara perlunya perjuangan tersebut merangkumi semua pihak dan setiap aspek kehidupan. Memperjuangkan kepentingan sesuatu pihak sahaja sementara pihak lain ditinggal dan dibiarkan, lama-kelamaan menghasilkan satu jurang perbezaan yang semakin menjauh.

Wanita JIM berpandangan, keprihatinan masa depan mestilah diketengahkan sebagai agenda utama pembangunan masyarakat. Sekiranya kita mengimpikan sebuah masyarakat madani, yang seimbang dan sejahtera berasaskan kemantapan nilai dan pegangan aqidah yang sahih, tugas berat merealisasikannya mestilah dipikul oleh semua pihak – lelaki dan wanita. Aspek utama dalam membangunkan modal insan adalah penguasaan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang mampu mengubah keyakinan, akhlak, akal, sikap dan psikomotor. Tugas mendidik generasi akan datang mestilah dijadikan keutamaan yang tiada kompromi, dipacu oleh kelompok ilmuwan dan cendekiawan yang jujur ikhlas memanfaatkan anugerah kebijaksanaan dari Allah SWT.

Wanita JIM menuntut semua pihak agar tidak lalai dan alpa dalam menjalankan amanah mendidik generasi akan datang. Kaum wanita diseru agar terus meningkatkan potensi diri di samping tidak mengenepikan tanggungjawab membimbing anak-anak ke jalan yang diredhai Allah. Sementara, kaum lelaki diminta kembali meletakkan keutamaan kepada institusi kekeluargaan yang menuntut mereka menjadi nakhoda yang adil dan saksama. Bahtera rumahtangga mestilah dikendalikan bersama dengan bijaksana, berasaskan ajaran dan bimbingan Al-Quran dan As-Sunnah, bukan dengan membabi buta, didorong oleh hawa nafsu dan kejahilan yang hina.

Dalam konteks yang lebih luas, Wanita JIM mendesak agar pemimpin masyarakat di setiap peringkat – sama ada di tahap komuniti setempat mahukan pucuk kepimpinan negara – agar tidak sesekali menggadai prinsip apatah lagi mengkhianati amanah yang diberikan Allah SWT dalam membuat keputusan-keputusan penting yang membawa kesan kepada masa hadapan semua. Janganlah kerana ketamakan nafsu dan keinginan syahwat bagi meraih keuntungan duniawi yang sementara, masa depan generasi akan datang dan negara tergugat, hancur berkecai.

Wanita JIM menyeru umat Islam di Negara in agar kembali kepada syariah Islam yang menjanjikan kesejahteraan yang menyeluruh dan berpanjangan. Syariah Islam yang dimaksudkan bukanlah setakat aspek perundangan semata-mata. Syariah adalah satu kerangka sistem peraturan di mana aspek-aspek kehidupan umum dan peribadi disusunatur berasaskan prinsip Islam. Syariah mempunyai hubungan terus dengan semua aspek hidup seharian seperti politik, ekonomi, perniagaan, kekeluargaan, seksualiti dan isu-isu sosial.

Secara khusus, sepanjang tahun 2009 ini, dalam rangka memastikan perkongsian mengenai keprihatinan masa depan ini dapat disebarluaskan, Wanita JIM berazam mengutarakan tujuh isu fokus yang mesti diambil perhatian sewajarnya oleh semua pihak :

Isu krisis ekonomi global

Gaya hidup yang melebihi dari kemampuan seseorang disuburkan melalui budaya `kad kredit’ atau berhutang, yang melibatkan riba’ atau pengambilan faedah oleh syarikat kewangan atau bank yang sebenarnya menindas dan memerangkap orang ramai. Wanita JIM mendesak agar semua pihak terutamanya pengguna menyedari hakikat ini dan kembali kepada gaya hidup yang lebih sederhana, dalam kemampuan yang sedia ada sebagaimana yang disarankan oleh Islam. Krisis ini juga mestilah dilihat sebagai satu muhasabah kepada gaya hidup yang tersasar jauh dari ajaran Islam yang sebenarnya.

Isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak

Krisis ekonomi akan mengakibatkan tekanan stress yang tinggi kepada individu dan keluarga. Sudah menjadi satu kenyataan, statistik bunuh diri dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak akan meningkat apabila berlakunya krisis ekonomi yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Dalam satu nota yang dikeluarkan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pembangunan Sosial ( Commission of Social Development) , Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 Januari 2009, bertajuk `The current global crises and their impact on social development’ mengatakan :

`There is evidence that in times of economic hardship, social cohesion comes under threat, with rising social tensions that can potentially lead to increases in violence. It is a common perception that during a crisis and economic downturn, people fear for their own economic future, resulting in a heightened sense of competition for jobs and lower support for affirmative action policies to close social gaps. There is also a tendency for violence to increase in general, but especially interpersonal violence and violence against women linked to economic stresses. Indeed, recent news reports and data collected by centres for domestic violence, including in the United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland and the United States of America, have noted an upsurge in domestic violence in 2008. Simultaneously, budget cuts to social services and health providers have made it more difficult for local domestic violence programmes to meet the needs of their communities.

Semua pihak mestilah bersedia menghadapi masalah sosial ini dan mampu menangani kes-kes ini dengan baik – melibatkan mangsa penderaan dan sipendera juga perlu bantuan segera.

Isu keadilan dan kesaksamaan dalam sistem perundangan berkaitan keluarga

Wanita yang menjadi anak, adik atau kakak, isteri dan ibu sering berhadapan dengan pengabaian tanggungjawab di pihak lelaki yang menjadi bapa, abang atau suami mereka. Amanah yang dipikulkan Allah SWT di atas bahu mereka dianggap satu lambang keistimewaan, kekuasaan dan kemuliaan lelaki berbanding wanita. Apabila kemelut sampai di mahkamah, nyata masih ada yang perlu diperbaiki dari sudut implementasi dan pelaksanaan undang-undang tersebut. Wanita JIM berazam untuk memperjuangkan isu ini dengan cara, wasilah dan saluran yang benar.

Isu keseimbangan hidup wanita bekerjaya

Pembabitan wanita dalam kerjaya mempengaruhi kuantiti masa yang sepatutnya digunakan untuk menguruskan keluarganya. Kemahiran mengimbangi kehidupan keluarga dan kerjaya menjadi keperluan asas setiap wanita yang memilih untuk bekerjaya. Usaha gigih mesti dijalankan untuk mendidik wanita bekerjaya agar mampu mengimbangi kehidupan mereka dengan baik.

Isu wanita tanpa suami

Pandangan serong masyarakat kepada wanita yang tidak hidup bersama suami mesti diperbetulkan. Sama ada seseorang wanita yang masih sendiri itu kerana belum bertemu jodoh, membuat pilihan untuk hidup sendiri, bercerai hidup atau mati dengan bekas suami, mahupun kerana suami dipenjarakan – mereka masih mempunyai peranan dan sumbangan yang amat berharga untuk keluarga dan masyarakat. Impak krisis ekonomi global ini ke atas golongan ibu tunggal mestilah diambil perhatian serius oleh semua pihak.

Isu pengaruh media kepada komuniti khususnya generasi muda.

Wanita mestilah sedar betapa media massa mempengaruhi pemikiran manusia. Dalam era kemajuan ICT hari ini, perkembangan teknologi akan mencabar keupayaan kita untuk menjejakinya. Perhatian wajar ditumpukan kepada kualiti pengisian program yang dipromosi untuk menarik perhatian remaja dan belia.

Isu pemeliharaan jati diri wanita

Semakin bertambah usaha memartabatkan wanita, semakin juga bertambah aktiviti yang mengeksploitasi wanita di media massa dan di khalayak umum. Yang ironinya, wanita sendiri yang nampaknya begitu ghairah memperagakan dan mempertaruhkan apa yang sepatutnya menjadi penghormatan dan jati diri mereka sendiri. Antara sebab utama adalah kerana kejahilan dan kurangnya penguasaan dari sudut ilmu pengetahuan yang sebenarnya terhadap ajaran Islam. Usaha mesti digembleng agar kefahaman yang benar dapat disampaikan kepada kaum wanita khususnya generasi muda.

Isu-isu ini akan diperjelaskan dalam beberapa siri penerangan dan wacana yang dianjurkan oleh Wanita JIM, disamping penulisan dan kupasan isu yang menjadi fokus di dalam media massa dan elektronik. Sila rujuk lampiran A. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan hidayah-Nya kepada kita semua yang ikhlas berjuang di jalan-Nya.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita JIM Pusat
012-3243134

Tiada ulasan:

Catat Ulasan